Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju.1 Haluan Sehaluan.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, Buku Pengurusan Kolej Vokasional Arau 2019 dapat disiapkan dan diedarkan kepada pensyarah-pensyarah semua. Buku Panduan ini menjadi lambang komitmen kita dalam profesion keguruan dan seterusnya meletakkan pensyarah-pensyarah Kolej Vokasional Arau ke arah budaya kerja yang berkualiti dan berwawasan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bertugas kepada semua pensyarah dan juga Anggota Kumpulan Pelaksana. Mudah-mudahan pada tahun ini kita dapat memperbaharui dan meningkatkan azam kita untuk terus mendidik dan melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional dengan penuh rasa tanggungjawab. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “Jadikan kerja hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Saya juga berharap semoga transformasi ini dapat meningkatkan produktiviti dan inovasi pensyarah-pensyarah di samping dapat memupuk budaya ketepatan masa, sentiasa bersegera, cekap dan mesra pelanggan. Transformasi ini juga perlu seiring dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menjana perubahan sikap dan tingkah laku pelajar mengikut kehendak dan aspirasi negara.Seterusnya kita dapat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kecemerlangan ilmu, berpersonaliti unggul, kemahiran berfikir dan mengamalkan budaya kerja yang tinggi. Bagi para pensyarah pula, harapan saya ialah dapat melaksanakan perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang berteraskan pengetahuan, kreatif, inovatif dan semangat kerja berpasukan bagi memastikan matlamat dan wawasan yang telah disepakati bersama tercapai. Pendidikan berkualiti mestilah dapat diakses oleh semua bagi membangunkan modal insan yang holistik. Akhir kata, apa pun cabaran dan transformasi yang datang, kita harus berfikiran positif dan menerima dengan minda terbuka. Kita mestilah bersatu untuk mencapai kecemerlangan bak kata pepatah “ Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Teruskan tekad, gandakan usaha untuk tahun 2019 dengan harapan Kolej Vokasional Arau akan terus cemerlang dalam semua aspek.

Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

EN. MOHD JELANI BIN YAACOB
Pengarah,
Kolej Vokasional Arau, Perlis.